spot_img
HomePolitikPBRS perkukuh kerjasama komponan BN Sandakan hadapi PRN17

PBRS perkukuh kerjasama komponan BN Sandakan hadapi PRN17

SANDAKAN: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menegaskan komitmen untuk terus bergerak seiring dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) di semua peringkat sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Ketua Penerangan PBRS Pusat, Datuk Fredie Sua berkata, kekuatan BN bergantung kepada kemampuan semua komponen bergerak dalam satu pasukan dan bukan secara terasing.

Fredie (tengah) menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada Hatta Yunus Sawabi, Pengerusi Persatuan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Suluk Sandakan (PUSAKA).

“Kita mesti terus bergerak dalam satu pasukan untuk menghadapi PRN17.

“Di tujuh kawasan ini, BN mesti ada calon sama ada daripada UMNO, MCA atau PBRS sendiri.

“Matlamat kita jelas, pastikan kemenangan BN,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Tengah Hari PBRS Bahagian N.53 Sekong bersama parti komponen BN daerah Sandakan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Libaran, Datuk Mokran Ingkat, Ketua UMNO Bahagian Sandakan, Datuk Alipudin Puyon dan Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi, Zantapha Zainal Abidin.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi MCA Libaran, Potter Liau dan Ketua Bahagian MCA Sandakan, Kok Tsui Yee.

Datuk Fredie yang juga Ahli Dewan Tertinggi BN, turut mengulangi pesanan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa kemenangan hanya boleh dicapai dengan strategi yang tersusun dan kerja lapangan yang agresif.

Fazil (dua kiri) memberikan cenderahati kepada Fredie sambil disaksikan Mokran, Alipudin dan Zantapha.

“Kalau mahu menang, mesti buat cara mahu menang.

“Di Sandakan pun sama, kalau mahu menang, mesti buat cara menang,” katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai landskap politik semasa di Sabah yang kini melibatkan gabungan antara BN dan Pakatan Harapan (PH), sambil menegaskan keperluan semua parti menyesuaikan strategi dengan keadaan politik baharu.

“Kebanyakan parti sudah menyatakan kesediaan untuk bergabung.

“Di Semenanjung, gabungan BN dan PH sudah diuji. Di Sabah, ia belum teruji — BN bergabung dengan PH, manakala PH pula menyokong GRS. Sama ada rumit atau tidak, kita akan hadapi bersama,” katanya.

Menurut beliau, BN dijangka menampilkan lebih 80 peratus muka baharu pada PRN17, namun masih mengekalkan kawasan strategik yang pernah ditandingi parti sebelum ini.

Sementara itu, Ketua PBRS Bahagian N.53 Sekong, Mohd Fazil Ajak berkata, hubungan rapat antara kepimpinan parti di kawasan Sandakan amat penting bagi memastikan gerak kerja politik tidak bercanggah dan dapat memberi tumpuan kepada kekuatan sebenar BN.

“Kalau kita bergerak berasingan, pihak lawan akan nampak kelemahan kita.

“Jadi penting untuk kita kekalkan keserasian dan saling menyokong antara kepimpinan,” katanya.

Beliau turut menekankan pentingnya penglibatan anak muda dalam perjuangan politik dan melihat program seumpama itu sebagai platform mengukuhkan semangat setiakawan di peringkat akar umbi.

DI majlis tersebut Fazil turut penyampaian sumbangan PBRS Bahagian Sekong kepada Persatuan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Suluk Sandakan (PUSAKA), Persatuan Kebajikan Hockkian Sandakan, serta Sekolah Menengah Kebangsaan Elopura Bestari yang masing-masing menerima sumbangan RM1,000.

Menurut Fazil sumbangan itu sebagai tanda sokongan terhadap aktiviti sosial dan kebudayaan masyarakat setempat. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular