spot_img
HomeSemasaNorma baharu sekolah 2021, pelajar tanpa seragam

Norma baharu sekolah 2021, pelajar tanpa seragam

Sipitang : Pandemik Covid-19 telah mendatangkan pelbagai impak negatif  secara langsung sehingga menghadkan keberlangsungan sosioekonomi negara sekaligus menjejaskan beberapa sektor penting termasuklah aspek pendidikan generasi masa kini.

Menerusi kenyataan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata bahawa, Kementerian Pendidikan (KPM) telah memberikan kelonggaran kepada pihak sekolah untuk tidak mewajibkan pelajar menggunakan pakaian seragam ke sekolah. Tindakan ini mengambil kira kesan pandemik yang sedikit sebanyak menyukarkan situasi sesetengah keluarga yang kurang berkemampuan.

Sistem kelonggaran ini akan mula dilaksanakan pada 8 November ini berkuatkuasa di semua sekolah di seluruh Malaysia, katanya.

Foto – Utusan Borneo

Arif Bagol, Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Merintaman Sabah berpendapat, tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) ini adalah sesuatu yang wajar melihat peratusan ekonomi penduduk setempat yang semakin menurun sedangkan harga barangan kian meningkat. Beliau turut melihat ianya sebagai sebuah inisiatif terbaik untuk mengurangkan beban ibu bapa pelajar.

“Pendidikan bukan hanya dilihat pada dasar seragam sekolah. Malah, kelonggaran ini dianggap sebagai dorongan kepada pelajar yang tidak berkemampuan untuk membeli seragam baharu sekaligus berpotensi besar untuk meningkatkan peratusan kehadiran pelajar sehingga tiada alasan lagi tidak dapat hadir ke sekolah termasuklah tidak memiliki seragam sekolah lengkap”

Jelasnya, sememangnya menjadi tanggungjawab bersama untuk lebih prihatin terutamanya kepada golongan kurang berkemampuan lebih-lebih lagi golongan B40, M40, dan T20 yang sudah pasti tertindas teruk disebabkan pandemik. Dengan adanya kelonggaran ini, mereka tidak akan rasa terbeban untuk membeli seragam baharu bagi anak-anak mereka apabila sesi persekolahan bermula nanti.

“Tanpa pakaian seragam, ibu bapa boleh fokus kepada pembelian buku-buku dan peralatan tulis yang mana lebih utama mahupun perbelanjaan sewaan kenderaan untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah sekiranya tidak tinggal di asrama” ujarnya lagi.

Foto – Harian Metro

Tidak dapat dinafikan, ekoran daripada penularan Covid-19 ini taraf sosioekonomi negara kita semakin terjejas menambahkan lagi kesukaran penduduk tempatan untuk menjana pendapatan khususnya yang bergantung pada operasi domestik negara.

Oleh itu, kelonggaran yang disyorkan pihak Kementerian Pendidikan (KPM) ini dinilai sebagai satu langkah awal yang baik terutamanya dalam menggalakkan lebih banyak lagi peratusan kehadiran pelajar ke sekolah. Dasarnya, berkemungkinan besar ianya akan mendapat sambutan baik daripada masyarakat umum khususnya golongan ibu bapa sendiri.

Penulis : Umi Ayu Nazirah Binti Janor

 

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular