SUNGAI MANILA: Calon Gagasan Rakyat Sabah (GRS) bagi Sungai Manila, Hazem Mubarak Musa menggesa media arus perdana untuk terus memainkan peranan penting dalam memastikan penyebaran maklumat yang tepat, benar dan tidak mengelirukan rakyat, khususnya dalam era digital yang semakin mencabar.
Hazem berkata, dalam situasi dunia tanpa sempadan hari ini, berita dan maklumat boleh tersebar sekelip mata hanya dengan sentuhan pada skrin telefon, namun keadaan itu turut meningkatkan risiko penularan berita palsu serta manipulasi maklumat.
“Media hari ini bukan sahaja medium untuk mendapatkan maklumat, tetapi juga menjadi benteng utama dalam menapis dan membezakan antara fakta dan fitnah.
“Dengan media, kita boleh tahu sama ada sesuatu berita itu sahih atau tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Pusat Media Sandakan di sini, hari ini.
Hazem turut menyeru pengamal media agar menilai secara adil serta melaporkan usaha yang telah dilaksanakan GRS dalam membangunkan Sabah, termasuk di kawasan Sungai Manila.

“Banyak kerja dan pencapaian telah dilakukan, namun tidak dinafikan terdapat fitnah yang dilemparkan terhadap GRS.
“Saya berharap media dapat membantu menyebarkan maklumat yang benar supaya rakyat tidak tersalah menilai,” katanya.
Menurutnya, perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) menjadikan landskap media lebih kompleks kerana ia membuka ruang kepada penciptaan kandungan palsu yang sukar dibezakan dengan maklumat benar.
“Era AI ini sangat mencabar. Fitnah besar boleh dicipta dan sukar ditelan oleh masyarakat.
“Sebab itu, kita mahu media melaporkan yang tepat agar anak muda khususnya, dapat menilai mana satu yang benar dan mana yang sekadar bermain politik,” ujarnya.
Hazem menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan media dalam memastikan rakyat menerima maklumat sahih dan tidak terpengaruh dengan sumber meragukan.
Katanya, media arus perdana mempunyai kredibiliti dan keupayaan besar dalam mendidik masyarakat membentuk persepsi yang lebih matang terhadap landskap politik negeri. — DEMI SABAH


