spot_img
HomeSemasaLelaki selamat, Myvi dipandu terbakar

Lelaki selamat, Myvi dipandu terbakar

PAPAR: Seorang lelaki berusia 27 tahun terselamat selepas kenderaan yang dipandunya terbakar sepenuhnya dalam satu kejadian kemalangan di hadapan Public Bank Pekan Papar awal pagi tadi.

Menurut Komander Operasi, PBK I Dahlan Jainudin dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai jam 2.51 pagi, sebelum sepasukan 10 anggota digerakkan ke lokasi kejadian menggunakan dua jentera.

Bomba berjaya mengawal dan memadam kebakaran kereta Perodua Myvi yang terbabit dalam kemalangan awal pagi tadi.

“Setibanya pasukan di lokasi didapati sebuah kereta jenis Perodua Myvi telah terbakar 100 peratus selepas dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar tiang lampu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang terlibat berjaya keluar sendiri daripada kenderaan sebelum pasukan bomba tiba.

“Pasukan bomba kemudian bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran salur bantu mula dari jentera dan api berjaya dikawal sepenuhnya jam 3.00 pagi,” ujarnya.

Katanya, operasi tamat sepenuhnya jam 3.28 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada sebarang risiko bahaya lain di lokasi.

Kejadian turut melibatkan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan siasatan lanjut. — DEMI SABAH

 

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular