Beluran: Seorang lelaki yang dilaporkan lemas semasa memancing di Sungai Bauto Telupid di sini ditemukan meninggal dunia kira-kira jam 10 pagi hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihak PGO menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu melalui talian Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 pada jam 11.43 pagi.
Mangsa yang dipercayai berusia 46 tahun itu ditemukan pada jarak sekitar enam kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Mangsa dilaporkan lemas di sungai berkenaan semasa menjalankan aktiviti memancing kira-kira jam 11.30 pagi semalam,”
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut sama dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
Sementara itu, jasad mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untutk tindakan selanjutnya sebelum menamatkan operasi SAR sepenuhnya pada jam 11.05 pagi.