SOOK: Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas lori tiga tan yang dinaiki mereka terbabas sendiri di Jalan Sinaran, Kampung Sinaron Tengah, Sook awal pagi tadi.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, PBK I Maimin Yabin, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 jam 6.58 pagi sebelum sepasukan tujuh anggota bergegas ke lokasi sejauh 60 kilometer.

“Sebaik tiba di lokasi jam 8.21 pagi, didapati kemalangan melibatkan sebuah lori tiga tan yang terbabas di bahu jalan.
“Tiga mangsa lelaki dipercayai terhumban keluar dari kenderaan akibat impak kemalangan,” katanya.
Beliau berkata, dua mangsa mengalami kecederaan dan diberi rawatan awal oleh pasukan bomba bersama anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Seorang lagi mangsa berusia lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan KKM.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, operasi yang turut dibantu tiga anggota KKM dan dua anggota polis itu ditamatkan sepenuhnya jam 8.47 pagi. — DEMI SABAH


