KUDAT: Seorang pekerja pemunggah pasir ditemui mati lemas dipercayai terjatuh ke dalam laut ketika sedang memantau kerja-kerja mesin memunggah pasir silika di atas sebuah kapal berhampiran perairan Pantai Bangau, Sikuati, Kudat petang semalam.
Menurut sumber, pada awalnya hanya seorang terjatuh ke laut namun dua lagi rakan sekerja mereka terjun untuk menyelamatkan mangsa.
Ketiga-tiga pekerja terbabit dikatakan selamat namun tidak dapat naik semula ke kapal kerana ketiadaan tali keselamatan sehingga dibawa arus ombak ke tepi pantai.
Panggilan kecemasan diterima jam 4.46 petang daripada seorang pekerja syarikat berkenaan sebelum pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Kudat bergegas sejauh 22 kilometer ke lokasi.
Setibanya di tempat kejadian jam 5.10 petang, pasukan penyelamat mendapati ketiga-tiga mangsa sudah dihanyutkan arus ke tepi pantai.

“Walaupun dua pekerja terbabit berjaya mendapatkan mangsa, ketiga-tiga pekerja itu tidak dapat naik semula ke kapal kerana ketiadaan tali keselamatan,” katanya.
Bomba dengan dibantu APMM, PDRM, APM dan Kementerian Kesihatan Malaysia segera mengangkat mangsa ke daratan.
Pegawai Perubatan KKM mengesahkan Mohd Azman meninggal dunia di lokasi, manakala dua lagi mangsa selamat dan diberikan rawatan awal di tempat kejadian.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Azman Bin Idris, 31, dan dua rakannya yang selamat Muhammad Haseef Bin Abdul Rahman, 29 dan Aidil Adman Bin Said, 49.
Jenazah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.43 petang selepas memastikan tiada lagi ancaman di lokasi.
Komander Operasi, PBK II Rasidi Bin Sadai, memaklumkan seramai 12 anggota terlibat dalam misi menyelamat, dibantu pelbagai agensi lain.
Tragedi ini sekali lagi mengingatkan tentang risiko tinggi pekerjaan di perairan serta pentingnya prosedur keselamatan ketika bekerja di atas kapal, terutama melibatkan operasi berhampiran laut terbuka. — DEMI SABAH