TUARAN: Seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas keluar memukat ikan di muara Sungai Serusup sejak subuh 30 Ogos lalu dan sehingga kini masih belum ditemui.
Mangsa dikenali sebagai Husaini Saidin, 34, dilaporkan tidak pulang selepas keluar memukat jam 4.30 pagi.
Usaha keluarga dan penduduk kampung mencari mangsa menemui botnya terdampar di tebing muara sungai dalam keadaan rosak.
Susulan laporan polis yang dibuat 1 September, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran menerima panggilan kecemasan jam 1.19 tengah hari sebelum sepasukan lapan anggota digerakkan ke lokasi.
Komander Operasi, PBK II Easter Hassan berkata, pasukan bomba tiba jam 1.35 tengah hari bersama kekuatan logistik termasuk sebuah EMRS, sebuah FRT, sebuah Vigo dan sebuah bot.
“Operasi pencarian dijalankan dengan radius 15 kilometer di sepanjang pesisir pantai dengan bantuan dua bot milik penduduk kampung.
“Operasi turut melibatkan empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kota Kinabalu serta kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Setakat ini mangsa masih belum ditemui,” katanya.
Jelasnya, operasi ditangguhkan jam 6 petang dan akan disambung semula hari berikutnya. — DEMI SABAH