SANDAKAN: Aspek kesiapsiagaan aset dan anggota, pematuhan prosedur operasi standard (SOP), koordinasi antara agensi serta keupayaan tindak balas pantas menjadi fokus utama dalam Latihan Search and Rescue Exercise (SAREX) Air Region 2 Tahun 2025 yang berlangsung di sini, bermula 29 September lalu.
Kehadiran aset udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di ruang udara Pantai Timur Sabah sepanjang latihan turut memberi impak positif kepada masyarakat dengan memperkukuh keyakinan orang ramai terhadap keselamatan ruang udara negara.
Menurut kenyataan pihak penganjur, TUDM komited dalam memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara dan menghargai sokongan padu semua agensi di Sandakan yang telah menjayakan Latihan tersebut.

“Latihan yang diterajui Markas Wilayah Udara 2 (MAWILUD 2) ini merupakan rutin tahunan dan menjadi platform penting bagi mengukur tahap kemampuan sebenar agensi-agensi kerajaan dalam melaksanakan operasi carilamat bersepadu,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 15 agensi kerajaan telah mengambil bahagian sejajar dengan konsep Whole of Government and Whole of Society (WOGOS) yang menekankan kerjasama erat antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama agensi kerajaan lain untuk memperkukuh kesiapsiagaan bersama.
Katanya, antara aset ATM yang diaturgerak termasuk pesawat pengangkut C130H dari No 14 Skn, pesawat helikopter EC725 dari No 5 Skn serta aset maritim melibatkan bot penyelamat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Turut serta menjayakan latihan itu, Markas Angkatan Bersama (MK ATB 2), Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2), Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) Sabah, Hospital Duchess of Kent (HDOK), Jabatan Hidupan Liar (JHL), Malaysia Airports Berhad (MAB), Majlis Keselamatan Negara Sabah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Sandakan.
Selain fokus latihan, penganjur turut mengadakan program Community Relation (COMREL) di Pusat Pemulihan Orang Utan dan Sun Bear Conservation Centre, Sepilok serta Pulau Berhala yang melibatkan aktiviti kemasyarakatan.

COMREL memberi peluang memperkukuh hubungan baik antara tentera, agensi kerajaan dan masyarakat di samping meningkatkan kesedaran awam mengenai peranan ATM dalam mempertahankan kedaulatan negara. — DEMI SABAH