spot_img
HomeEkonomiKOPAN catat keuntungan RM415,000, rancang perluas aktiviti ekonomi baharu

KOPAN catat keuntungan RM415,000, rancang perluas aktiviti ekonomi baharu

SANDAKAN: Koperasi Pembangunan Tanah Pergaulan Anak Negeri Sandakan Sabah Berhad (KOPAN) terus membuktikan keupayaannya sebagai antara koperasi paling aktif di Sabah apabila berjaya mencatat keuntungan bersih sebanyak RM415,000 setahun hasil daripada pelaksanaan projek ternakan ayam berskala besar di Batu 12, Sungai Manila, di sini.

Kejayaan tersebut diumumkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kali Ke-34 KOPAN yang berlangsung di Grand Ballroom, Hotel Livingston, Sandakan, dengan kehadiran seramai 119 anggota koperasi.

Pengerusi KOPAN, Abdul Rahman Abdullah Salleh dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada semua anggota atas sokongan padu yang diberikan sepanjang tahun, sekali gus membolehkan koperasi berkembang pesat dan kekal kukuh dalam bidang ekonomi.

Penyampaian cenderahati.

“Sokongan yang berterusan daripada anggota dan Ahli Lembaga Koperasi amat penting bagi memastikan KOPAN terus menjadi peneraju dalam memperkasa ekonomi anak negeri di Sabah,” katanya.

Menurut beliau, projek ternakan ayam tersebut melibatkan 60,000 ekor ayam pada fasa pertama, dan dijangka meningkat kepada lebih 110,000 ekor pada fasa seterusnya.

Katanya, kejayaan projek ini menjadikan KOPAN sebagai koperasi pertama di Sabah yang mengusahakan ternakan ayam pada skala besar.

Projek penternakan ayam yang diusahakan KOPAN.

Selain sektor penternakan, mesyuarat turut mengusulkan pelaksanaan urus niaga baharu melibatkan pengoperasian kilang air minuman botol, yang dijangka mampu menjana sumber pendapatan tambahan kepada koperasi serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anggota dan anak tempatan.

Kejayaan dan perancangan tersebut selaras dengan matlamat KOPAN untuk terus memperkasa pembangunan sosioekonomi anak negeri Sabah, sekaligus menyumbang kepada kemakmuran komuniti setempat. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular