spot_img
HomePolitikKepercayaan rakyat, amanah yang perlu dijaga

Kepercayaan rakyat, amanah yang perlu dijaga

SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Jaffari Waliam terus menunjukkan keprihatinannya terhadap masyarakat apabila menyampaikan sumbangan bahan binaan dan bakul makanan sempena Kejohanan Futsal Kampung Jaya Bakti 2025, diadakan bersempena sambutan bulan kemerdekaan.

Dalam program yang turut melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sandakan dan Beluran itu, Jaffari menyerahkan zink serta papan lapis bagi membantu keperluan penduduk terutama membaikpulih kerosakan bumbung atau dinding rumah.

Beliau juga menghulurkan bakul makanan kepada golongan memerlukan sebagai tanda prihatin terhadap nasib rakyat.

Jaffari (tengah) menyerahkan bantuan zink kepada penduduk Kampung Jaya Bakti.

“Bagi saya, setiap program bersama rakyat adalah peluang untuk kita berkongsi rezeki dan membantu mereka yang memerlukan.

“Inilah semangat kemerdekaan, kita saling melengkapi dan membangunkan masyarakat secara bersama,” katanya.

Jaffari berkata, walaupun pernah diuji dengan masalah kesihatan sehingga terpaksa melalui pembedahan sebelum ini, ia tidak menghalangnya untuk kembali aktif dan terus bekerja membela kepentingan rakyat di kawasan Gum Gum.

Sumbangan bakul makanan turut diberikan sempena Kejohanan Futsal Kampung Jaya Bakti 2025.

“Kesihatan saya adalah ujian, tetapi kepercayaan rakyat adalah amanah.

“Saya akan terus memberikan perhatian penuh kepada kebajikan masyarakat di kawasan ini,” ujarnya.

Mengulas mengenai kejohanan futsal itu, Jaffari berkata ia bukan sahaja mengeratkan silaturahim dalam kalangan belia dan penduduk setempat, malah turut menjadi platform untuk meraikan bulan kemerdekaan dengan semangat perpaduan. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular