KINABATANGAN: Dua maut selepas dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir mengejut di Kampung Bangkulut Imbak, Tongod, lewat malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.46 malam sebelum jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan digerakkan ke lokasi sejauh 169 kilometer.
Menurut Komander Operasi, PBK I Ahmad Pramuja, banjir berlaku akibat kepala air yang datang secara mengejut dari hulu lalu melimpahi kawasan kampung.

“Dalam kejadian itu, dua mangsa dilaporkan dihanyutkan ketika cuba menyeberangi jalan yang ditenggelami air.
“Mangsa pertama merupakan seorang wanita warga emas berusia 79 tahun, warganegara Indonesia.
“Mangsa kedua pula seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun, warganegara Malaysia. Kedua-duanya gagal menyelamatkan diri selepas hilang imbangan akibat arus deras,” katanya.

Difahamkan, kanak-kanak lelaki terbabit turut terlepas daripada genggaman ibunya sebelum dihanyutkan arus deras.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera digerakkan sebaik tiba di lokasi.
Mayat mangsa pertama ditemui kira-kira 250 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang, manakala mangsa kedua ditemui 200 meter dari lokasi penemuan pertama.
Kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut jam 4.55 pagi.
Operasi yang dikendalikan 5 anggota BBP Kinabatangan dengan bantuan PDRM (12 anggota), APM (4 anggota) dan PBS Tongod (4 anggota) turut dibantu jentera pacuan empat roda serta sebuah bot dari BBP Beluran.
Tiada operasi pemindahan dilakukan kerana paras air sungai kembali surut. — DEMI SABAH