KOTA KINABALU: Kelulusan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon 2025 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini telah membuka peluang kepada Sabah untuk menarik pelabur kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
“Landasan undang-undang ini memberi keyakinan yang diperlukan pelabur dan peluang yang lebih besar terletak dalam kerjasama ASEAN.
“Untuk perkembangkan ruang ini, kita memerlukan pasaran karbon serantau yang berfungsi.
“Itu bermakna taraf yang seragam, penjajaran peraturan dan pengiktirafan bersama kredit karbon rentas sempadan. Sistem yang berpecah-belah hanya akan melambatkan pelaburan.
“Negeri Sabah bersedia bekerjasama dengan negara-negara ASEAN lain untuk menggerakkan agenda ini ke hadapan. Hutan kita sudah pun memainkan peranan mereka. Kini rangka kerja perlu seiring,” katanya semasa Sidang Kemuncak Perhutanan Mampan ASEAN 2025 di Shangri-La Tanjung Aru Resort, hari ini.
Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Hajiji berkata Enakmen tersebut menubuhkan Majlis Tindakan Iklim Sabah, Tabung Iklim, inventori pelepasan karbon peringkat negeri dan satu kerangka perkongsian manfaat, khususnya kepada komuniti pribumi.
“Hak karbon kini telah disahkan sebagai milik Kerajaan Negeri dan aktiviti berkaitan karbon daripada kelulusan projek hingga perdagangan kredit kini akan ditadbir melalui struktur yang jelas dan boleh dikuatkuasakan,” katanya.
Ketua Menteri turut menegaskan bahawa Sabah kini merupakan sebuah bidang kuasa dengan status penyerapan lebih banyak karbon berbanding yang dilepaskan.
“Kita antara bidang kuasa di dunia yang memiliki status ini dan dianggarkan Sabah sahaja menyumbang kira-kira 36 peratus daripada jumlah keseluruhan penyerapan karbon Malaysia.
“Ini bukan sekadar penanda aras alam sekitar, ia adalah aset ekonomi strategik.
“Dalam dunia yang terhad karbon, ia merupakan kelebihan daya saing yang tidak boleh kita abaikan,” katanya.
Hajiji berkata sektor perhutanan adalah teras kepada ekonomi, alam sekitar dan masa depan Sabah.
“Di bawah pelan pembangunan Kerajaan Negeri iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kita telah memasukkan perhutanan mampan ke dalam strategi pertumbuhan jangka panjang.
“Pada tahun 2022, kita memperkenalkan Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan, satu pelan induk tempoh 15 tahun untuk memulihkan 400,000 hektar hutan terosot.
“Inisiatif ini bukan sekadar penanaman semula pokok, ia bertujuan menjamin bekalan kayu yang mampan, mewujudkan pekerjaan hijau dan memperkukuh ekonomi luar bandar.
Ujar beliau, untuk mencapai sasaran yang ditetapkan, komitmen berterusan daripada pemegang lesen Unit Pengurusan Hutan (FMU) amat diperlukan, disamping kerjasama erat dengan Jabatan Perhutanan Sabah.
Sehubungan itu, Hajiji menggesa semua pemegang lesen FMU agar memenuhi tanggungjawab mereka manakala Jabatan Perhutanan Sabah perlu memperkukuh peranannya dalam memantau kemajuan dan memastikan pelaksanaan kekal di landasan.
Jelasnya, apabila direalisasikan sepenuhnya, pelan itu dijangka menyumbang lebih RM11 bilion kepada KDNK Sabah dan mewujudkan 40,000 pekerjaan di sepanjang rantaian nilai. — DEMI SABAH


