SANDAKAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan pewartaan Kampung Karamunting Baharu sebagai peristiwa bersejarah yang menzahirkan impian masyarakat setempat setelah sekian lama menantikan pengiktirafan rasmi kerajaan.
“Program pada malam ini cukup bersejarah kerana impian masyarakat kita di kampung ini akhirnya dipenuhi apabila Kampung Karamunting Baru dengan rasminya diwartakan sebagai sebuah perkampungan sah,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Tapak Tanah Untuk Tujuan Pewartaan Kampung Karamunting Baharu, di sini.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiu atas komitmen tinggi memperjuangkan kepentingan rakyat di kawasan tersebut.
“Saya berharap penduduk Kampung Karamunting Baru dapat mengucapkan berbanyak terima kasih kepada wakil rakyat di sini, Datuk George Hiu.
“Beliau bertanggungjawab bekerja kuat sehingga tercapai persetujuan untuk mewartakan tanah Majlis Perbandaran Sandakan ini,” ujarnya.
Menurut Hajiji, ADUN berkenaan sering mengadakan pertemuan dengan beliau bagi membincangkan bukan sahaja isu kampung itu, malah juga masalah rakyat di seluruh kawasan Karamunting.
“Beliau tidak pernah jemu memperjuangkan masalah rakyat, termasuk pemasangan lampu solar di beberapa kampung.
Saya berharap dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang, berilah sekali lagi peluang kepada beliau kerana wakil rakyat yang rajin bekerja perlu terus dikekalkan,” katanya.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa komited menjamin hak rakyat terhadap penempatan yang sah.
“Kerajaan telah meluluskan hampir 40,000 ekar tanah tahun ini untuk diwartakan sebagai kampung di beberapa daerah termasuk Sipitang, Tenom dan kawasan lain.
“Tujuannya bagi memastikan rakyat mempunyai tempat tinggal yang sah, bukan lagi setinggan,” jelasnya.
Katanya, langkah itu termasuk mengeluarkan tanah kerajaan serta hutan simpan untuk diduduki secara sah oleh masyarakat kampung yang telah lama bermastautin.
“Inilah kerajaan negeri hari ini, kerajaan GRS yang amat prihatin terhadap rakyat daripada aspek penempatan sehinggalah masa depan mereka.
“Bahkan bagi golongan kurang berkemampuan, kerajaan turut menyediakan dasar yang adil dan baik demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – DEMI SABAH