ELOPURA – CALON Parti Impian Sabah (PIS) bagi Dewan Undangan (DU) N55 Elopura, Jeffery Chung menegaskan pendiriannya untuk terus memperjuangkan politik berintegriti serta menolak sekerasnya amalan politik wang dan budaya ‘penganuan’ yang didakwanya merosakkan nilai demokrasi.
Jeffery berkata masyarakat Elopura perlu sentiasa menilai latar belakang setiap calon secara teliti sebelum membuat keputusan pada hari pengundian.
“Rakyat harus melihat karakter, rekod dan prinsip seseorang calon.
“Politik wang bukan sahaja mencemar demokrasi malah merendahkan maruah masyarakat. Impian Sabah menawarkan politik bersih dan berprinsip,” katanya.

Menurutnya, PIS membawa misi politik sihat yang memberi penekanan kepada pembangunan serta usaha mempertahankan hak-hak Sabah demi kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, matlamat PIS sentiasa berpaksikan prinsip Rukun Negara selain mengangkat nilai-nilai luhur dalam membina masa depan negeri.
“Parti Impian Sabah komited untuk memacu Sabah ke arah masa hadapan lebih cemerlang dalam semua bidang sama ada politik, ekonomi atau sosial.
“Kami percaya kekuatan perjuangan mesti bersandar kepada Tuhan dan bebas daripada perbuatan yang dilarangNya,” katanya.

Jeffery menegaskan PIS merupakan parti yang meletakkan integriti sebagai syarat utama kepimpinan selain mengamalkan etika keperibadian mulia serta prinsip bersih, cekap dan amanah.
“Dalam PIS hanya pemimpin berkebolehan dan berintegriti tinggi layak memegang jawatan.
“Semua Ahli Majlis Tertinggi, Ketua Bahagian dan Timbalan Ketua Bahagian wajib melafazkan ikrar bebas rasuah seperti yang disarankan SPRM,” jelasnya.
Beliau berkata, parti itu juga menegakkan dasar kepimpinan generasi muda dengan mengehadkan tempoh seseorang memegang jawatan tidak melebihi dua penggal atau 12 tahun bagi memastikan penyegaran kepimpinan secara berterusan.
“Ini perubahan budaya politik yang Elopura perlukan.
“Jika rakyat mahukan politik matang bebas rasuah dan berprinsip Parti Impian Sabah sedia memikul amanah itu,” ujarnya.


