spot_img
HomeSemasaJaffari turun sendiri baiki jambatan usang

Jaffari turun sendiri baiki jambatan usang

SANDAKAN: Prihatin terhadap keselamatan dan keselesaan penduduk, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Jaffari Waliam turun padang bersama penduduk Kampung Lorong Selamat Batu 16, Gum-Gum untuk membaiki jambatan utama kampung yang telah lama uzur.

Jambatan berkenaan merupakan laluan penghubung utama penduduk kampung untuk keluar ke jalan utama, namun struktur kayu yang semakin usang dan reput menimbulkan risiko keselamatan terutama kepada pejalan kaki dan kenderaan berat yang melalui kawasan itu.

Penduduk kampung sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan jambatan yang semakin tidak selamat dan berharap agar dibaiki segera bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti runtuhan, kemalangan atau kecederaan.

Menyedari keperluan mendesak itu, Jaffari mengambil inisiatif menganjurkan gotong-royong membaiki jambatan dengan penglibatan penduduk kampung dan anggota RELA.

Jaffari turut bersama bergotong-royong membaiki jambatan Kampung Lorong Selamat Batu 16, Gum Gum.

“Kita tidak boleh tunggu lebih lama kerana keselamatan penduduk menjadi keutamaan.

“Jadi saya bersama penduduk dibantu anggota RELA mengambil pendekatan bergotong-royong membaiki jambatan ini agar dapat digunakan dengan lebih selamat,” katanya.

Menurut beliau, semangat kerjasama dan keprihatinan penduduk kampung amat membanggakan kerana usaha membaiki jambatan tersebut dilakukan secara sukarela demi kepentingan bersama.

“Terima kasih kepada anggota RELA dan penduduk kampung yang sama-sama turun padang membantu.

“Inilah semangat komuniti yang kita mahu kekalkan, bekerjasama demi kebaikan kampung sendiri,” ujarnya.

Penduduk kampung pula menzahirkan penghargaan dan rasa terharu terhadap tindakan segera Jaffari yang sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat.

Mereka menyifatkan usaha Jaffari sebagai contoh pemimpin yang dekat dengan masyarakat dan tidak teragak-agak turun padang menyelesaikan masalah setempat.

Penduduk kampung bersama RELA bergotong-royong membaiki jambatan.

“Kami sangat bersyukur kerana YB Datuk Jaffari segera mengambil tindakan.

“Beliau bukan sekadar datang meninjau, tetapi turut sama bekerja membaiki jambatan bersama kami,” kata salah seorang penduduk.

Program gotong-royong tersebut selesai dengan baik dan jambatan berkenaan kini boleh digunakan semula dengan lebih selamat sementara menunggu proses baik pulih secara menyeluruh oleh pihak berkuasa berkaitan. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular