spot_img
HomePolitikHajiji puji kerja, khidmat George Hiu

Hajiji puji kerja, khidmat George Hiu

SANDAKAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyanjung tinggi usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiu Vun Zin yang disifatkannya sebagai wakil rakyat rajin bekerja dan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat.

Menurut Hajiji, kejayaan pewartaan Kampung Karamunting Baharu yang diumumkan malam tadi adalah hasil kerja keras dan kesungguhan George mengangkat isu rakyat di kawasan tersebut.

Datuk Seri Hajiji Noor.

“Datuk George berjumpa saya berkali-kali bukan saja mengenai masalah perkampungan ini, tetapi juga hal rakyat di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting.

“Beliau tidak pernah jemu memperjuangkan isu masyarakat, sama ada di kampung mahupun di bandar,” katanya.

Hajiji berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Tapak Tanah Untuk Tujuan Pewartaan Kampung Karamunting Baharu, di sini.

Menurut beliau, antara sumbangan besar George termasuk pemasangan lampu solar di beberapa kampung serta usaha berterusan membela masyarakat kurang berkemampuan.

“Kalau wakil rakyat kita rajin bekerja, mengapa kita perlu mencari orang lain? Orang lain belum tentu dapat buat apa yang telah ditunjukkan oleh Datuk George.

“Sebab itu saya berharap rakyat terus memberi peluang kepada beliau dalam pilihan raya negeri akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hajiji turut menegaskan kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) komited memberi jaminan hak penempatan kepada rakyat.

“Kerajaan sudah meluluskan hampir 40,000 ekar tanah untuk diwartakan sebagai kampung sah di seluruh negeri termasuk Sipitang dan Tenom.

“Tujuannya jelas kita mahu rakyat hidup sebagai penduduk sah, bukan setinggan,” katanya.

Tambah beliau, langkah itu membuktikan kerajaan negeri amat prihatin terhadap kebajikan rakyat serta masa depan mereka. – DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular