spot_img
HomePolitikGelanggang tenis baru beri manfaat kepada rakyat Sandakan

Gelanggang tenis baru beri manfaat kepada rakyat Sandakan

SANDAKAN: Lebih ramai penduduk khususnya golongan belia di Sandakan kini berpeluang menggunakan kemudahan sukan yang lebih selesa selepas projek menaik taraf Gelanggang Tenis Daerah Sandakan siap sepenuhnya.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, projek berkenaan merupakan inisiatif Kerajaan MADANI untuk menyediakan fasiliti sukan yang selesa dan berkualiti kepada masyarakat setempat.

Tinjauan Hannah bersama Vivian ke salah sebuah gelanggang kemudahan sukan di Sandakan.

“Dengan siapnya projek ini, kita berharap gelanggang tenis Sandakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk, terutama belia, untuk beriadah serta melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam sukan tenis,” katanya ketika menyempurnakan majlis perasmian penyerahan projek di sini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee.

Projek bernilai RM350,000 itu bermula pada 28 Ogos 2024 dan siap pada 27 November tahun sama, melibatkan kerja-kerja menaik taraf lantai gelanggang, pembinaan parit baharu serta pemasangan portable awning demi keselesaan pengguna.

Hannah menambah, kementerian bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembinaan kompleks sukan berskala besar, malah turut menekankan keperluan menaik taraf kemudahan berskala kecil seperti gelanggang futsal, gelanggang serbaguna dan padang bola sepak yang menjadi tumpuan penduduk.

Pengurusan gelanggang berkenaan diserahkan kepada Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) bagi memastikan penyelenggaraan berterusan untuk kegunaan masyarakat. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular