SANDAKAN — Calon KDM bagi DU Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung meneruskan siri tinjauan mesra dengan mengunjungi Pasar Umum Sandakan hari ini bagi bertemu peniaga dan pengunjung seawal pagi.
Kehadiran beliau disambut mesra para peniaga yang mengambil kesempatan menyuarakan pelbagai aduan berkaitan kemudahan asas dan keselamatan di kawasan pasar.
Antara isu paling ketara ialah masalah tempias hujan dan permukaan tangga licin yang membahayakan keselamatan.
Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Tan, 65, berkongsi pengalamannya melihat ada pengunjung pasar yang cedera dua kali akibat terjatuh di tangga pasar terbabit.

“Kalau hujan memang kena tempias… basah, licin. Ada pengunjung jatuh dua kali pada awal tahun ini dan tahun lalu.
“Mukanya pun luka. Saya minta lepas ni Datuk bantu la pasang zink,” katanya sambil berharap pemasangan zink dapat dilakukan segera.
Sementara itu, peniaga makanan, Siti Hasma Halis, 57, yang memakai apron sumbangan Frankie, menyifatkan calon itu sebagai seorang yang prihatin dan sentiasa ambil berat kebajikan peniaga, bukan hanya ketika musim pilihan raya.
“Saya kenal Datuk Frankie lama.
“Dia memang selalu nampak keadaan kami, bukan masa pilihan raya saja,” katanya.

Dalam tinjauan tersebut, Frankie berkata lawatannya adalah peluang terbaik untuk mendekati rakyat dan memahami masalah sebenar yang mereka hadapi.
“Inilah peluang terbaik untuk saya menemui rakyat di kawasan Tanjung Papat dan mendengar sendiri keluhan serta aduan mereka,” katanya.
Beliau turut dimaklumkan mengenai kejadian seorang pengunjung yang cedera sebelum ini selepas tergelincir di tangga pasar ketika hujan.
Menurut Frankie, setiap aduan yang diterima akan diberikan perhatian sewajarnya sekiranya beliau diberi mandat sekali lagi.
“Keselamatan rakyat adalah keutamaan. Kita akan pastikan ada tindakan.
“Antara cadangan adalah pemasangan atap atau ‘cap’ bagi melindungi laluan yang kerap licin ketika hujan,” jelasnya.
Tinjauan berakhir dengan komitmen beliau untuk membawa suara peniaga dan pengunjung Pasar Umum Sandakan ke meja tindakan sekiranya diberikan kepercayaan pada pilihan raya kali ini.


