RANAU: Dua wanita tempatan cedera ketika mendaki Gunung Kinabalu, menjadikan jumlah mangsa cedera kepada 20 orang setakat tahun ini.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib, Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MoSAR) dan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan sekitar jam 9:54 pagi.
Insiden tersebut melibatkan dua wanita tempatan, seorang mengalami Acute Mountain Sickness (AMS) dan muntah-muntah, manakala seorang lagi kekejangan otot di kaki kiri.
“Kejadian pertama berlaku berhampiran Pondok Layang-Layang, Gunung Kinabalu dan seramai enam anggota penyelamat, diketuai PBK II (KUP), Jamri Salleh bersama seorang renjer taman ke lokasi kejadian untuk memberi rawatan awal,” katanya.
Kira-kira jam 2.50 petang, kejadian kedua berlaku di kawasan sama dan seramai sembilan anggota penyelamat, diketuai PBK II, Mastin Suli bersama dua renjer taman ke lokasi kejadian bagi merawat mangsa.
Kedua-dua mangsa dibawa turun ke Timpohon Gate menggunakan Robinson Stretcher, kemudian dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut.
Sementara itu, beliau menasihatkan bakal pendaki supaya melakukan penilaian kesihatan diri, serta bersiap sedia dari segi mental dan fizikal sebelum mendaki gunung itu.
“Pendaki perlu lebih berhati-hati pada musim sejuk sekarang kerana dikhuatiri permukaan tanah dan batuan di Gunung Kinabalu lebih licin,” tambahnya lagi.