spot_img
HomePolitikDari pengarah syarikat ke pentas politik: Jeffery Chung sedia galas amanah rakyat...

Dari pengarah syarikat ke pentas politik: Jeffery Chung sedia galas amanah rakyat Elopura

SANDAKAN – Calon N55 Elopura, Jeffery Chung memasuki dunia politik bukan sekadar atas kehendak diri, tetapi berbekalkan dorongan paling bermakna dan restu daripada ibunya sendiri.

Transformasi daripada seorang ahli perniagaan kepada figura politik menjadi titik perubahan besar dalam hidup beliau.

Jeffery yang sebelum ini menguruskan operasi syarikat sebagai pengarah, mengakui dunia politik jauh berbeza daripada dunia korporat yang diterajuinya.

Jeffery (kanan) menyantuni rakyat sejak lebih setahun lalu sebelum memulakan kempen sebagai calon No.1 N55 Elopura bagi Parti Impian Sabah.

“Dalam perniagaan, kita kejar sasaran.

“Tetapi politik menuntut kita lebih dekat dengan masyarakat, lebih toleransi dan sentiasa peka terhadap keperluan rakyat,” katanya.

Menurutnya, keputusan untuk terjun ke gelanggang politik bukan dibuat secara tergesa-gesa.

Katanya, lebih setahun sebelum ini, beliau sudah turun padang membina hubungan dengan masyarakat Elopura melalui pelbagai bentuk khidmat rakyat.

Jelasnya, ia termasuk bantuan kebajikan, program sosial, pendidikan, kesihatan serta pembangunan komuniti.

Malah, Jeffery turut aktif bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan bagi memastikan inisiatif kerajaan dapat disalurkan dengan lancar kepada penduduk.

Jeffery berkata, penglibatan itu menjadikannya lebih memahami denyut nadi masyarakat setempat sekali gus mengukuhkan keazamannya untuk menawarkan diri sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum Sabah ke-17 bagi kerusi N55 Elopura.

“Semua pengalaman itu sudah sebati dalam diri saya.

“Sebab itu, hari ini saya berdiri sebagai calon yang bersedia sepenuhnya menempuh persaingan ini.

“Saya berkeyakinan rakyat kini lebih matang menilai dan memilih kepimpinan terbaik untuk menerajui Elopura bagi tempoh lima tahun akan datang,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular