KOTA KINABALU: Edisi ke-33 Borneo Safari International Off-Road Challenge kembali mencabar dengan laluan baharu dan penyertaan lebih besar, melibatkan lebih 500 kenderaan serta 2,000 peserta dari dalam dan luar negara.
Acara tahunan anjuran Sabah Four Wheel Drive Association (SFWDA) itu berlangsung dari 26 Oktober hingga 2 November 2025 bermula dengan perlepasan rasmi di hadapan Bangunan Sabah Tourism Board, Gaya Street yang disaksikan ribuan penonton di pusat bandar.
Presiden SFWDA merangkap Pengarah Program, Faez Nordin berkata, Borneo Safari bukan sekadar acara sukan lasak, tetapi simbol ketahanan, disiplin dan semangat kerjasama dalam kalangan komuniti pacuan empat roda.

“Acara ini terus menjadi platform utama untuk penggemar off-road menguji kemampuan, teknologi dan kekuatan mental dalam suasana hutan tropika yang sebenar,” katanya.
Turut mencuri perhatian kali ini ialah penyertaan Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Sabah, Datuk Jaffari Waliam, yang merupakan antara peserta setia Borneo Safari sejak sekian lama.
Datuk Jaffari, yang dikenali sebagai penggemar aktiviti lasak dan kemanusiaan, sekali lagi mengambil bahagian menggunakan kenderaan pacuan empat roda miliknya yang sama digunakan dalam misi bantuan banjir di beberapa daerah Sabah sebelum ini.
Menurut beliau, penglibatan dalam Borneo Safari bukan hanya atas minat terhadap aktiviti off-road, tetapi juga sebagai platform memupuk semangat sukarelawan dan kesiapsiagaan menghadapi bencana alam.

“Kenderaan yang kita guna dalam ekspedisi seperti ini bukan sekadar untuk cabaran ekstrem, tapi juga menjadi aset penting ketika membantu mangsa bencana seperti banjir.
“Ia sudah terbukti berfungsi dalam misi kemanusiaan sebelum ini,” katanya ringkas.
Edisi kali ini turut menampilkan pasukan baharu dari Kuala Lumpur, Matrock 4×4 Team, yang baru-baru ini muncul naib juara Cabaran 4×4 Kota Marudu, di samping penyertaan antarabangsa dari Rusia, Amerika Syarikat, Jepun, Hong Kong, Australia dan Filipina.
Penaja Platinum, UMW Grantt International Sdn. Bhd., yang kini memasuki tahun kesembilan kerjasama, turut meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti penanaman pokok, bantuan sekolah dan pemulihan kemudahan kampung sepanjang laluan ekspedisi.

Borneo Safari 2025 melibatkan laluan merentasi Nabawan, Sook dan Keningau dengan kombinasi denai balak terbiar, sungai dalam dan kawasan berlumpur yang bakal menguji ketahanan peserta dan jentera. — DEMI SABAH


