spot_img
HomeSemasaBilik guru, 2 bilik darjah musnah terbakar

Bilik guru, 2 bilik darjah musnah terbakar

TAMBUNAN: Tiga buah bangunan di sebuah sekolah agama di Tambunan musnah dalam satu kejadian kebakaran petang Ahad, namun tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.

Menurut Komander Operasi, PBK I Selverinus Sixtus Geoffrey dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.23 petang sebelum jentera tiba di lokasi dua minit kemudian.

Keadaan bangunan sekolah agama yang musnah dalam kebakaran.

“Kebakaran melibatkan tiga struktur bangunan sekolah iaitu sebuah bangunan kelas dan bilik guru jenis tidak kekal berkeluasan 25×50 kaki yang terbakar 100 peratus, sebuah lagi bangunan kelas 25×30 kaki turut musnah sepenuhnya, manakala bangunan kuarters guru jenis kekal berkeluasan 25×25 kaki mengalami kemusnahan kira-kira 50 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 400 kaki, empat pancutan secara offensive serta dua aliran salur bantu mula dengan kaedah defensive, menggunakan sumber air dari jentera dan pili bomba berhampiran.

Seramai 23 anggota terlibat dalam operasi tersebut, terdiri daripada 18 anggota BBP Tambunan, 4 anggota BBP Keningau, dan seorang anggota Bomba Sukarela Kampung Tangaban, diketuai oleh PPgB Mitchell Francis George, Ketua Balai BBP Tambunan.

Turut membantu ialah pasukan daripada PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Jabatan Air Sabah.

Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 6.15 petang, dan operasi ditamatkan pada 8.23 malam setelah pihak bomba memastikan tiada lagi ancaman bahaya di kawasan terbabit.

Punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bomba. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular