spot_img
HomePolitikBersatu, kerjasama dengan rakan seperjuangan tempuh PRN17 - Joachim

Bersatu, kerjasama dengan rakan seperjuangan tempuh PRN17 – Joachim

SANDAKAN: Semua ahli PBS diseru agar terus bekerjasama dengan semua rakan seperjuangan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri PRN ke-17 (PRN17) yang bakal diadakan tidak lama lagi, kata Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.

Beliau turut mengingatkan ahli-ahli supaya tidak mudah mempercayai sebaran berita palsu atau berunsur hasutan yang disebarkan melalui media massa.

“Saya boleh katakan hampir setiap hari ada sahaja perkara baharu yang dilemparkan pembangkang untuk memecahbelahkan perpaduan antara PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

“Tiap-tiap hari ada sahaja yang keluar di media massa.

“Jadi jangan terus percaya. Rujuklah kepada pucuk pimpinan iaitu Ketua Bahagian masing-masing.

“Ketua Bahagian pula, kalau tidak pasti, jangan sembarangan membuat atau mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat,” tegasnya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri II berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Tiga Bahagian iaitu PBS Bahagian Lamag, Sukau dan Sekong di Dewan Masyarakat Sandakan, kelmarin.

Joachim turut menghargai komitmen Pengerusi Penganjur bersama, Ketua Bahagian PBS Lamag, Ali Latif Taha yang komited dengan inisiatif yang dibuat bagi mengadakan Mesyuarat dan dibantu oleh Ketua Bahagian PBS Sukau, Haji Malaya Kasurah; Setiausaha Bahagian PBS Sekong, Ahmad Awang serta semua AJK pelaksana yang telah bertungkus lumus menjayakan program berkenaan.

Menyentuh mengenai kerjasama politik, Joachim menegaskan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan tetap bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi PRN.

“Kalau bukan kerana sokongan Pakatan Harapan dalam peristiwa ‘Langkah Kinabalu’ pada 2023, kita mungkin berada di pihak pembangkang pada ketika ini.

“Justeru saya mohon kita semua berdoa agar segala urusan berjalan lancar dan yang terbaik, demi memastikan GRS terus menjadi kuasa politik dominan di Sabah,” katanya.

Turut hadir Ketua Bahagian PBS Sungai Sibuga, Kasirin Kamiran; Naib Ketua Pemuda Pusat merangkap Naib Ketua Pemuda PBS Elopura, Mohd. Rizuan Mohd. Damit; Exco Wanita merangkap AJK PBS Elopura, Jennifer Lee yang mewakili Ketua Bahagian PBS Elopura, serta pemimpin-pemimpin PBS lain. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular