KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai langkah penting dalam memperkukuh agenda reformasi subsidi bersasar yang digerakkan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pembentangan belanjawan kali ini memperlihatkan komitmen kerajaan untuk memastikan bantuan sampai terus kepada golongan yang benar-benar memerlukan, selaras dengan dasar pengalihan subsidi daripada pemberian secara pukal kepada pendekatan bersasar.

“Belanjawan 2026 bukan sekadar kesinambungan, tetapi pengukuhan kepada agenda reformasi subsidi bersasar melalui pelaksanaan program seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Armizan menjelaskan, inisiatif bantuan tunai ini sebenarnya bermula pada tahun 2012 dengan jumlah maksimum RM500 setahun kepada penerima layak, membabitkan peruntukan RM2.6 bilion.
Namun katanya, di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI sejak 2023, program berkenaan telah diperluas dan diperkukuh melalui STR dan SARA dengan melibatkan golongan B40, M40 rendah, warga emas serta individu bujang.
Menurutnya, selain peluasan kategori, kadar bantuan juga meningkat dengan isi rumah berpendapatan bawah RM2,500 sebulan dan mempunyai lima anak kini menikmati bantuan tertinggi mencecah RM4,600 setahun.
Dalam Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan RM15 bilion bagi meneruskan program STR dan SARA termasuk RM2 bilion khusus untuk 22 juta rakyat berusia 18 tahun ke atas yang akan menerima bantuan RM100 melalui SARA.
Mulai Januari 2026, semua penerima STR akan turut menerima bantuan SARA bulanan sehingga RM100 sebulan atau RM1,200 setahun.
Bagi penerima di bawah program e-Kasih, kadar bantuan meningkat sehingga RM200 sebulan (RM2,400 setahun), manakala kategori bujang akan menerima RM50 sebulan (RM600 setahun).
Armizan berkata, pelaksanaan menyeluruh itu membuktikan kesungguhan kerajaan memastikan keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan dalam kerangka reformasi ekonomi MADANI.
“Pendekatan bersasar ini bukan sahaja memastikan ketelusan dalam pengagihan bantuan, tetapi turut mengurangkan ketirisan serta meningkatkan keberkesanan setiap sen yang dibelanjakan untuk rakyat,” ujarnya. — DEMI SABAH