spot_img
HomePolitikBalai bomba baru bakal dibina di Gum Gum

Balai bomba baru bakal dibina di Gum Gum

SANDAKAN: Sebuah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) baharu bakal dibina di Kampung Gum-Gum, Batu 16 bagi meningkatkan keupayaan perkhidmatan kebombaan di daerah ini.

Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Hj Nasir berkata, kewujudan balai baru amat diperlukan kerana BBP sedia ada di Sandakan kini menampung keperluan tiga kawasan Parlimen sekali gus, menyebabkan operasi tidak dapat berfungsi dengan kapasiti optimum.

“Dengan adanya BBP baru di kawasan Libaran, ia akan memperkukuh kesiapsiagaan anggota bomba dalam menangani sebarang kecemasan, sekali gus memastikan keselamatan rakyat lebih terjamin,” katanya ketika membahaskan isu berhubung Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat.

Menurut beliau, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengenal pasti tapak cadangan di Kampung Gum-Gum dan kini menunggu status hak milik tanah daripada Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah sebelum projek dimajukan.

Cadangan pembangunan itu juga telah diangkat ke Kementerian Ekonomi pada 15 Mei lalu untuk pertimbangan kelulusan dalam Rolling Plan Satu (RP1) Tahun 2026 di bawah RMK-13.

Dalam masa sama, Suhaimi turut menyentuh isu kebajikan anggota bomba yang berdepan risiko tinggi semasa bertugas dan menyarankan agar kerajaan meneliti pemberian elaun tambahan sebagai pengiktirafan terhadap pengorbanan mereka.

Menjawab cadangan itu, KPKT memaklumkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan beberapa penambahbaikan elaun dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini termasuk Bayaran Insentif Ketukangan, Bayaran Insentif Pengendali Anjing Terlatih serta Bayaran Insentif Menyelam.

“Alhamdulillah, kedua-dua isu yang saya sering bangkitkan di Dewan Rakyat akhirnya mendapat perhatian serius daripada Menteri KPKT dan kerajaan,” jelasnya.

Suhaimi menyambut baik komitmen kerajaan dalam memperkukuh kebajikan anggota bomba dan berharap projek pembinaan BBP Gum-Gum dapat dilaksanakan segera demi manfaat rakyat Libaran khususnya dan Sandakan amnya. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular