GUM GUM — Kempen calon No.5 N50 Gum Gum, Arunarnsin Taib diteruskan pagi ini dengan sesi tinjauan mesra di Pasar Batu 8 bermula seawal 7.45 pagi.
Arunarnsin yang turut ditemani isteri, meluangkan masa bersalaman dengan peniaga dan para pengunjung selain mengedarkan risalah profil serta manifesto beliau.
Suasana sepanjang lawatan dihiasi laungan sokongan dengan slogan “Selamatkan Sabah” dan “Undi Warisan”.

Rata-rata peniaga menyatakan keterbukaan menerima kehadiran beliau, malah ada yang menyuarakan harapan agar amanah rakyat sentiasa dijaga.
Seorang peniaga, Maslina Hami, 49, berkata tanggungjawab rakyat hanyalah memilih pemimpin, manakala selebihnya terletak pada bahu mereka yang diberikan mandat.
“Harapan saya hanya mahu mereka yang bertanding dan diberikan amanah, laksanakanlah tanggungjawab sebaiknya.
“Tanggungjawab saya hanya sekadar memilih dan menentukannya di atas kertas undi, selebihnya saya serahkan kepada mereka yang diberikan amanah.
“Jangan khianati kepercayaan rakyat,” katanya.

Sementara itu, peniaga ikan, Lahia Latip, 75, berharap mana-mana pemimpin yang dipilih dapat memainkan peranan dalam memudahkan akses rakyat mendapatkan insentif dan bantuan kerajaan.
“Jangan bebankan rakyat dengan birokrasi.
“Pemimpin dipilih untuk membantu rakyat mendapatkan apa yang ditawarkan. Tidak sepatutnya rakyat dibebankan dengan kerenah birokrasi,” katanya.
Menurutnya, pengalaman berurusan di pejabat kerajaan bagi mendapatkan subsidi, insentif dan bantuan tertentu sering kali sukar dan memenatkan hingga membuatkan rakyat semakin muak dengan kerenah birokrasi yang melambatkan urusan asas mereka.
Kempen Arunarnsin dijadual diteruskan ke beberapa lokasi lain sekitar Gum Gum termasuk program Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal bersama Rakyat DUN Sungai Manila pada hari sama.


