spot_img
HomePolitikAMANAH umum Ustaz Mohd Julpikar calon DUN Sulabayan

AMANAH umum Ustaz Mohd Julpikar calon DUN Sulabayan

KOTA KINABALU: Parti Amanah Negara (AMANAH) mengumumkan Ustaz Mohd Julpikar Ab Mijan sebagai calon rasmi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.64 Sulabayan, Semporna, pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17), 29 November depan.

Pengumuman itu dibuat sempena Konvensyen AMANAH Sabah 2025 yang disempurnakan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Sabu di Golden Hotel, Sembulan, di sini hari ini.

Dalam ucapan perasmiannya, Mohamad Sabu menyeru seluruh jentera parti agar memulakan gerak kerja pilihan raya dengan segera dan terancang bagi memastikan AMANAH mampu menembusi peta politik Sabah.

“PRN Sabah nanti memerlukan kesungguhan dan gerak kerja yang tersusun dari setiap peringkat.

“AMANAH mesti berusaha keras untuk mendapatkan kerusi sulung kita di negeri ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ahli agar mengekalkan perjuangan berasaskan nilai, integriti dan keberanian moral, bukan semata-mata mengejar kemenangan politik.

Katanya, kemenangan sebenar diukur melalui keyakinan rakyat terhadap kejujuran dan istiqamah perjuangan parti.

“Dengan semangat kerja berpasukan dan keikhlasan dalam perjuangan, saya yakin AMANAH mampu menawan hati rakyat Sabah serta membawa suara mereka ke Dewan Undangan Negeri,” ujarnya.

Calon berkenaan, Ustaz Mohd Julpikar Ab Mijan merupakan seorang pendidik, aktivis sosial dan tokoh masyarakat dari Semporna.

Mohd Julpikar berkelulusan Sarjana Muda Hukum (Syariah & Undang-Undang) dari Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim (UIN Suska), Riau, Indonesia dan berpengalaman luas dalam bidang pendidikan, dakwah serta NGO.

Antara pengiktirafan yang pernah diterimanya termasuk Tokoh Maulidur Rasul Daerah Semporna 2021 dan Tokoh Ma’al Hijrah Daerah Semporna 2023.

Beliau juga aktif sebagai usahawan pendidikan dan komuniti, menjadikannya antara figura muda yang berpotensi membawa gagasan politik nilai dan pembangunan masyarakat ke peringkat negeri. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular