KOTA KINABALU: Pelantikan ACP Ras Nazrin Shah Abdullah sebagai Komander Pangkalan Sabah (PGU) yang baharu mampu memperkukuh kesiapsiagaan aset dan anggota udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negeri ini, sekali gus menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah.
Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Dikun berkata, beliau yakin pengalaman luas serta kepimpinan ACP Ras akan menjadi penerus kepada kesinambungan kecemerlangan operasi PGU.
“Tahniah dan selamat menjalankan amanah kepada ACP Ras Nazrin Shah Abdullah selaku Komander Pangkalan Sabah (PGU) yang baharu.
“Dengan harapan agar kesinambungan kecemerlangan kepimpinan dapat diteruskan demi keselamatan dan kesejahteraan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Komander Pangkalan Sabah (PGU) daripada ACP Hamdan Abas.kepada ACP Ras Nazrin Shah di Auditorium Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.
Majlis itu turut merangkumi penyerahan jawatan Pengerusi Perkep PGU Sabah daripada Puan Caroline Justin Thaddeus Abdullah kepada Mahanum Sadli.
Turut hadir kepimpinan tertinggi PDRM Sabah termasuk Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah & Keselamatan Komuniti Kontinjen Sabah yang juga Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, SAC Datuk Mohd Azhar Hamin, Komander Briged Sabah PGA, SAC Datuk Abdul Rani Alias, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah, SAC Datuk Azmi Abdul Rahim dan Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Sabah, SAC Ahsmon Bajah. — DEMI SABAH