LAHAD DATU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah mengenal pasti tapak selaman skuba Blue Ring Hole di Terumbu Tingkayu, Teluk Darvel, yang berpotensi dijadikan sebagai sebagai destinasi pelancongan baharu negara.
Blue Ring Hole merupakan sebuah tapak selaman skuba yang terletak di antara Kunak dan Lahad Datu yang mengambil masa 15 minit dari kunak, dan 30 minit dari Lahad Datu untuk tiba di destinasi tersebut dengan menaiki bot.
Timbalan Pengerusi Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Dato Sri Anil Jeet Singh berkata, Blue Ring Hole adalah gua di bawah air yang wujud hasil daripada aktiviti gunung berapi kuno yang dianggarkan berlaku sekitar 500 juta tahun dahulu.
“Blue Ring Hole merupakan salah satu tapak daripada 10 tapak Blue Hole di seluruh dunia yang mempunyai dua struktur lubang biru.
“Tarikan pelancongan Blue Ring Hole ini berpotensi untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan baharu di Sabah dan Malaysia,” katanya ketika lawatan ke Blue Ring Hole.

Sementara itu, Menteri Pelancongan Malaysia, Datuk Seri Nancy Shukri yang diringi oleh Anil dalam lawatan ke Blue Ring Hole berkata, banyak aktiviti yang boleh dilakukan di tempat berkenaan bagi menarik perhatian pelancong termasuklah aktiviti selaman skuba dan selam snorkel.
Katanya, produk tempatan perlulah mengambil peluang untuk bersama kerajaan bagi mengetengahkan produk yang boleh menjana pendapatan komuniti serta negara.
“MOTAC komited dalam memastikan usaha membangunkan semula industri pelancongan negara agar berada di landasan yang betul serta dapat dicapai dalam jangka waktu yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.


