spot_img
HomeSemasaSeorang penyanyi nasyid ditahan miliki ladang pokok ganja

Seorang penyanyi nasyid ditahan miliki ladang pokok ganja

PETALING JAYA: Seorang penyanyi nasyid yang juga merangkap komposer terkenal ditahan polis selepas ladang pokok ganja yang dimiliki dalam unit kondominium kediamannya terbongkar petang semalam.

Suspek berusia 47 tahun itu ditahan bersama 17 pasu pokok ganja miliknya dan dipercayai telah diusahakannya sejak dua bulan lalu. Selain itu, polis turut menjumpai dan merampas ketulan mampat ganja seberat 214 gram.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata suspek ditahan di kediamannya kira-kira jam 5.30 petang semalam. Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.

“Ketulan mampat ganja bernilai RM10,700 itu ditemui di bahagian dapur dalam bekas plastik berwarna biru dan hitam yang diletakkan di atas kabinet dapur.”, kata Fakhrudin.

Setelah melakukan pemeriksaan lanjut di sebelah bahagian dapur kediamannya, pihak polis turut menemui satu almari kain berwarna hitam yang mengandungi tiga pasu pokok yang disyaki ganja.

Selain itu, polis juga menemui 13 pokok dalam pasu yang ditempatkan dalam sebuah bilik dan satu pasu yang diletakkan di balkoni kediaman tersebut. Hasil ujian saringan air kencing terhadapnya juga mendapati suspek positif dadah jenis THC (ganja).

Mohamad Fakhrudin berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai menanam ganja tersebut untuk kegunaan sendiri dan pihak polis masih menyiasat dari mana benih tanaman itu diperolehnya.

“Kita juga percaya suspek sudah terlibat dengan penagihan dadah selama 10 tahun dan dia mempelajari cara menanam pokok terbabit menerusi media sosial,” katanya.

Beliau berkata, susulan penemuan itu, polis merampas pelbagai alatan penanaman tumbuhan berkenaan antaranya cecair pemusnah serangga, penyukat suhu, lampu pelbagai jenis dan alat pengudaraan. Dalam serbuan itu, polis juga merampas kereta milik suspek iaitu Toyota Wish dan wang tunai bernilai RM40,700.

Nilai keseluruhan rampasan adalah berjumlah RM61,600 dan suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Jumaat depan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6B, Akta Dadah Berbahaya 1952, sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular