JITRA: Seorang kanak-kanak berusia empat tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Jitra (HJ) selepas kereta kereta Perodua Myvi yang dinaiki bersama keluarganya terjunam ke dalam sebuah sungai di Jalan Sungai Korok, hari ini.
Mangsa yang bernama Haraz Safiy Haniz, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di HJ manakala adiknya, Syafin Haadif yang berumur 2 tahun sedang menerima rawatan di Zon Merah hospital berkenaan.
Bapa mangsa, Haniz Mohammad, 35, berasal dari Kampung Sungai Kechik, Kuala Nerang, hanya mengalami luka ringan manakala isterinya, Nurul Syahira Zamri, 34, luka pada bahagian dahi.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata pihaknya menerima laporan kemalangan yang membabitkan sebuah kereta yang disyaki terbabas sendiri dan terjunam ke dalam sungai berkenaan pada jam 11.29 pagi.
Menurutnya, siasatan di lokasi kejadian mendapati kenderaan yang terbabit masih berada di situ manakala semua mangsa telah dikeluarkan dari kenderaan tersebut.
“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta yang dinaiki keluarga tersebut dari arah pekan Jitra menghala ke Air Hitam.
“Namun setibanya di Jalan Sungai Korok, pemandu kereta dipercayai gagal mengawal
kenderaan lalu terbabas ke kanan jalan dan terlanggar papan tanda di bahu kanan jalan sebelum terjunam ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
“Pemandu kereta berkenaan mengeluarkan semua mangsa yang berada dalam kenderaan itu, dan semua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Jitra untuk menerima rawatan.
Menurut beliau, kanak-kanak lelaki berusia empat tahun itu disahkan meninggal dunia pada jam 12.20 tengah hari ketika menerima rawatan di hospital.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Berita Harian


