KOTA KINABALU: Datuk Peto Galim, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sabah, menolak gesaan Presiden STAR Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, supaya KEADILAN tidak bertanding di Sabah.
“Parti di Sarawak dibuat atas pertimbangan politik di negeri itu. Jika beliau menjunjung autonomi politik Sabah, beliau juga harus menghormati hak rakyat Sabah untuk menentukan sendiri siapa yang layak mewakili mereka,” katanya.
Peto berkata, masih terlalu awal untuk membuat keputusan mengenai penyertaan KEADILAN Sabah dalam PRU16 kerana tarikh pilihan raya itu belum dimuktamadkan.
Buat masa ini, keutamaan pimpinan parti adalah melestarikan dan membangunkan negara serta memastikan hasil pembangunan dirasai rakyat.
Tambah Peto, dari segi organisasi, KEADILAN Sabah ditubuhkan serentak dengan penubuhan KEADILAN di peringkat nasional.
Sabah terlibat sejak awal dalam pembentukan parti. Semangat ini mencerminkan pembentukan Malaysia, yang turut melibatkan Sabah dan Sarawak sebagai pengasas bersama.
“KEADILAN Sabah membawa agenda reformasi yang jelas melalui pentadbiran yang telus dalam mengurus peruntukan, cekap menyelesaikan masalah dan bertanggungjawab kepada rakyat”
“Di peringkat Persekutuan, kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatukan pelbagai parti dalam Kerajaan MADANI. Kerjasama itu mewujudkan kestabilan politik untuk melaksanakan reformasi, manakala tatakelola yang baik membantu memastikan bantuan kerajaan sampai kepada rakyat,” jelasnya.
Jelas beliau di Sabah, kerjasama GRS, PH dan BN turut memperkukuh kestabilan politik dan membolehkan Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada keperluan rakyat. Muafakat ini turut menyumbang kepada peningkatan bayaran interim bagi pemberian khas 40 peratus Sabah kepada RM1.5 bilion serta kemajuan terbaik dalam penyelesaian perkara berkaitan MA63 sepanjang sedekad lalu.
“Kedudukan ibu pejabat sesebuah parti bukan satu-satunya jaminan bahawa kemudahan infrastruktur dan ekonomi rakyat Sabah akan menjadi semakin baik”
”Apa yang lebih utama adalah komitmen dan kemampuan menyampaikan perkhidmatan berkesan kepada rakyat,” katanya.


