HomeEkonomiRM950.78 juta disalurkan kepada lebih 44,000 usahawan dan koperasi di Sabah

RM950.78 juta disalurkan kepada lebih 44,000 usahawan dan koperasi di Sabah

KOTA KINABALU: Sejumlah RM950.78 juta pembiayaan telah disalurkan kepada 44,059  usahawan dan koperasi di Sabah sehingga September tahun ini menerusi Kementerian  Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta agensi-agensinya, kata Ketua  Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata, jumlah itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperluas  akses pembiayaan serta menyokong pertumbuhan dan daya saing perniagaan tempatan,  khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Katanya, kerajaan negeri menyambut baik pendekatan KUSKOP melalui aspirasi Hebatkan  Perniagaan Malaysia (HPM) yang memberi penekanan kepada pembangunan usahawan  secara menyeluruh, bukan sekadar menyediakan pembiayaan.

“Usahawan bukan sahaja memerlukan pembiayaan, tetapi juga latihan, teknologi,  peningkatan produktiviti, proses permohonan yang lebih mudah serta akses kepada  pasaran yang lebih luas.

“Kita mahu melihat lebih ramai usahawan dan syarikat tempatan di Sabah bergerak ke  hadapan, menjadi lebih digital, produktif dan inovatif, di samping memperluas akses  pasaran ke peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya pada perasmian Karnival  Hebatkan Perniagaan Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2026 di Lintasan Deasoka di sini  hari ini.

Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri  Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Ewon Benedick.

Hajiji berkata, usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan itu selari dengan hala tuju  Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang  memberi tumpuan kepada peningkatan daya saing, produktiviti dan nilai tambah ekonomi  negeri.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menghargai komitmen KUSKOP dalam melaksanakan  reformasi birokrasi, memudahkan prosedur serta memendekkan tempoh pemprosesan  permohonan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada  usahawan.

“Pendekatan seperti inilah yang kita mahu lihat terus diperkukuh, iaitu lebih banyak masa  usahawan digunakan untuk membina perniagaan dan mencari pelanggan, dan kurang masa  dihabiskan untuk berurusan dengan proses yang boleh dipermudahkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri bersedia untuk terus bekerjasama dengan  KUSKOP dan agensi-agensinya bagi memastikan program Kerajaan Persekutuan dapat  dipadankan dengan keperluan ekosistem perniagaan di Sabah.

Hajiji turut menyambut baik pengumuman Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri Datuk  Seri Anwar Ibrahim yang memberi perhatian khusus kepada pembangunan PMKS, terutama  melalui peningkatan akses pembiayaan dan pengurangan kos menjalankan perniagaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri sepanjang tahun ini terus memberikan  tumpuan kepada usaha memperkukuh pembangunan usahawan tempatan, antaranya  menerusi Program Bantuan SME-UP bagi meningkatkan kapasiti, produktiviti dan daya  saing perusahaan tempatan.

Katanya, kerajaan negeri turut membuka lebih banyak peluang kepada produk tempatan  menembusi pasaran baharu, khususnya dalam sektor makanan dan minuman, pertanian,  pelancongan, kraftangan serta produk berasaskan sumber tempatan.

“Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri turut memperkukuh pembangunan usahawan  berasaskan inovasi dan teknologi, selain program pemerkasaan produk desa dan  pembangunan kemahiran.

“Inisiatif ini memberi peluang kepada lebih ramai usahawan, khususnya golongan belia dan  masyarakat luar bandar, meningkatkan kemahiran, menambah nilai produk serta meneroka  peluang ekonomi baharu,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu terus  diperkukuh supaya lebih ramai usahawan Sabah bukan sahaja mampu bertahan, tetapi turut  meningkatkan skala perniagaan dan muncul sebagai peneraju perniagaan tempatan atau  local champions.

Hajiji turut menyeru usahawan Sabah supaya merebut peluang yang disediakan menerusi  Karnival HPM, termasuk konsultasi pembiayaan, latihan digital dan padanan perniagaan  yang ditawarkan agensi KUSKOP serta rakan strategik negeri.

“Janganlah kita berpuas hati dengan pasaran sedia ada. Tingkatkan kualiti pembungkusan,  penjenamaan dan ketekalan produk agar berdaya saing tinggi,” katanya.

Beliau yakin kerjasama erat antara kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan, institusi  kewangan, sektor swasta dan komuniti perniagaan mampu mewujudkan ekosistem yang  membolehkan lebih banyak perusahaan tempatan berkembang dan menembusi pasaran  global.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular