KUALA LUMPUR: Cadangan penambahan jumlah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak perlu melalui proses perundangan serta kajian semula persempadanan yang ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya boleh melaksanakan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya Persekutuan dan Negeri mengikut prinsip serta tatacara yang diperuntukkan di bawah Jadual Ke-13 Perlembagaan Persekutuan dan bidang kuasa SPR mengikut Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, isu penambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak ketika ini masih dalam peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan.
“Urusan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya sedia ada hanya boleh dilaksanakan selepas tamat tempoh lapan tahun atau sekiranya terdapat pindaan undang-undang,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat.
Menurutnya, sebarang perubahan terhadap komposisi keanggotaan Dewan Rakyat memerlukan pindaan kepada Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan yang hanya boleh diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat.
Beliau berkata, selepas notis kajian semula disiarkan, SPR diberikan tempoh sehingga dua tahun untuk menyiapkan kajian sebelum laporan akhir dikemukakan kepada Perdana Menteri seperti diperuntukkan di bawah Jadual Ke-13 Perlembagaan Persekutuan.
Mustapha berkata, Kerajaan MADANI komited menyegerakan penyelesaian semua tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), namun tempoh pelaksanaannya tertakluk kepada proses perundangan yang perlu dipatuhi.
Katanya, tahap kesiapsiagaan kerajaan Sabah dan Sarawak dari aspek operasi, sumber manusia dan kewangan juga merupakan antara faktor yang perlu diambil kira sebelum sesuatu tuntutan di bawah MA63 dapat dilaksanakan.


