KOTA KINABALU: Pengambilalihan Pelabuhan Bintulu oleh Kerajaan Sarawak disifatkan sebagai satu langkah bersejarah yang mengiktiraf hak negeri itu selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, dari sudut sejarah, pelabuhan berkenaan berada di bawah Senarai Negeri seperti yang diperuntukkan dalam MA63.
Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Persekutuan sebelum ini membantu membangunkan Pelabuhan Bintulu sehingga berkembang menjadi antara pelabuhan terpenting di Sarawak.
“Kerajaan Sarawak kemudiannya menyenaraikan pengambilalihan Pelabuhan Bintulu sebagai antara perkara yang dirundingkan menerusi Majlis Tindakan MA63.
“Alhamdulillah, Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri telah bersetuju menyerahkan pelabuhan itu kepada Kerajaan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak yang mencapai persetujuan mengenai pengambilalihan Pelabuhan Bintulu.
Menurut Mustapha, nilai pengambilalihan sebanyak RM1.8 bilion dipersetujui selepas mengambil kira pelaburan Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan pelabuhan itu, termasuk pembelian aset di bawah Kementerian Pengangkutan.
Katanya, persetujuan yang dicapai antara kedua-dua kerajaan itu mencerminkan semangat kerjasama dalam menyelesaikan isu berkaitan hak negeri.
“Pengambilalihan ini merupakan satu langkah yang amat signifikan dan bersejarah kepada Kerajaan Sarawak kerana mereka akan mengambil alih serta meneruskan operasi pelabuhan itu,” ujarnya kepada wartawan Demi Sabah.
Beliau berkata, Pelabuhan Bintulu memainkan peranan penting sebagai pintu masuk utama barangan serta menyokong industri minyak dan gas yang menjadi nadi ekonomi Sarawak.
Sehubungan itu, beliau percaya pengambilalihan berkenaan akan memberi manfaat kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, selain memperkukuh lagi pembangunan ekonomi negeri.


