KOTA KINABALU: Program Sumbangan Asas RAHMAH (MySARA) yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) terus membuktikan keberkesanannya dalam membantu rakyat berdepan tekanan kos sara hidup, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh.
Beliau berkata, pelaksanaan pemeriksaan dan advokasi secara berterusan ke atas premis perniagaan yang terlibat dalam MySARA dapat memastikan garis panduan dipatuhi sepenuhnya serta mengekang sebarang bentuk penyelewengan.

“Pemeriksaan ini penting bagi menjamin rakyat, khususnya golongan B40, menerima manfaat penuh daripada bantuan yang disalurkan.
“KPDN juga mendapati tiada kenaikan harga terhadap barangan MySARA dan bekalan sentiasa mencukupi bagi keperluan rakyat di seluruh Sabah,” katanya selepas meninjau beberapa premis MySARA di sekitar Kota Kinabalu, hari ini.
Program MySARA membolehkan rakyat menerima bantuan asas secara tanpa tunai menggunakan MyKad dengan kadar seperti berikut:
• Isi Rumah (eKasih): sehingga RM2,100 setahun
• Warga Emas (eKasih): sehingga RM1,650 setahun
• Bujang (eKasih): RM600 setahun
• Penerima Baharu: RM900 (Isi Rumah), RM450 (Warga Emas)
Menurut Fuziah, selain bantuan tetap, kerajaan turut menyalurkan Bantuan RM100 secara one-off kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas melalui MyKad, seperti diumumkan Perdana Menteri pada 23 Julai lalu.

Bantuan itu boleh digunakan mulai 31 Ogos hingga 31 Disember 2025 di lebih 7,900 premis seluruh negara, termasuk 701 premis di Sabah dengan 154 daripadanya di Kota Kinabalu.
“Kerajaan Madani sentiasa komited memastikan keperluan asas rakyat terjamin.
“Sekiranya berlaku sebarang kenaikan harga barangan, tindakan tegas akan diambil termasuk serahan notis di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” ujar beliau.
Fuziah menambah, usaha pemantauan dan penguatkuasaan KPDN akan terus diperkasa demi menjamin integriti pasaran, mengekalkan harga barang pada paras berpatutan serta melindungi hak pengguna. — DEMI SABAH