spot_img
HomePolitikUMNO sangkal kenyataan PPM Lamag

UMNO sangkal kenyataan PPM Lamag

SANDAKAN: UMNO Libaran menyifatkan kritikan terhadap Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir sebagai tidak berasas, sambil menegaskan isu bekalan air, elektrik dan jalan raya berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Sabah.

Ketua Penerangan UMNO Libaran, Shariff Ismarhafiz dalam kenyataan balas kepada Johainizamshah Johari, menekankan bahawa Suhaimi merupakan wakil rakyat pembangkang di peringkat negeri dan tetap konsisten memperjuangkan isu-isu mendesak rakyat Libaran di Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Parlimen.

“Sejak hujung 2022 hingga kini, pelbagai usaha telah dilaksanakan.

“Suara Datuk Suhaimi antara yang konsisten membawa isu semasa dan keperluan mendesak rakyat Libaran di DUN dan Parlimen,” katanya, sambil merujuk rekod gerak kerja yang boleh dirujuk di laman rasmi beliau serta platform BN Comms Libaran.

Shariff yang juga Ketua Penerangan BN Comms Libaran turut mempersoalkan pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS), mendakwa pengumuman pelaburan dan peruntukan ‘berbilion ringgit’ tidak diterjemah secukupnya kepada bantuan membaik pulih rumah rakyat dan penyelesaian menyeluruh isu asas.

“Kenapa GRS dipersalahkan? Sebab gagal mengurus dan mentadbir negeri,” katanya.

Beliau juga menyentuh persepsi integriti melibatkan pemimpin GRS sambil menegaskan bahawa sentimen rakyat akan dizahirkan apabila tiba masanya.

Dalam masa sama, Shariff menyatakan keyakinan Barisan Nasional (BN) mampu mentadbir negeri dengan lebih baik jika diberi mandat pada pilihan raya negeri akan datang.

“BN tidak bermain dengan gimik pecah tanah menjelang pilihan raya negeri (PRN),” ujarnya.

Shariff menggesa pihak yang mengeluarkan kritikan supaya membuat penelitian fakta terlebih dahulu supaya tidak menimbulkan tuduhan semberono. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular