KINABATANGAN: Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Lamag, Johainizamshah Johari membidas kenyataan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir yang menuduh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai kerajaan paling gagal dengan menyifatkan tuduhan itu tidak lebih kepada helah politik menutup kelemahan sendiri.
Beliau berkata, Suhaimi tidak layak menuding jari kerana Libaran yang diwakilinya masih ketinggalan jauh dengan masalah asas rakyat gagal diselesaikan walaupun sudah lebih empat tahun menjadi wakil rakyat.
“Air masih kering, rakyat Libaran terpaksa menyimpan air dalam tong.
“Konon janji tangki besar siap 2026, tapi empat tahun apa kerja sudah dibuat? Sekolah pun masih daif, 16 buah sekolah Libaran tiada kemudahan asas. Hospital Sungai Manila pula janji tinggal janji, mana hospital itu? Rakyat terus sesak, pesakit tidur di koridor!” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Johainizamshah berkata, masalah di Libaran tidak berakhir di situ, malah jalan kampung kekal berlubang, bekalan elektrik tidak stabil dan capaian internet pula begitu perlahan hingga memalukan.
“Zaman orang bincang 5G, Libaran masih blackout dan internet siput.
“Apa kerja YB? Sibuk ambil gambar di media sosial atau betul-betul ambil tindakan?” soalnya.
Beliau menegaskan, kenyataan Suhaimi yang mendakwa GRS gagal sama sekali tidak berasas kerana pentadbiran negeri di bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajii Noor terbukti berjaya memperkukuh ekonomi dan kebajikan akyat.
“Pendapatan negeri naik kepada hampir RM7 bilion, rizab negeri mencecah RM8.7 bilion – tertinggi dalam sejarah Sabah.
“Sebanyak 400 inisiatif Sabah Maju Jaya (SMI) dilancar, 94 peratus daripadanya sedang berjalan.
“Bantuan kebajikan berjumlah RM1.49 bilion dan Program Sentuhan Kasih RM385.5 juta sudah sampai kepada rakyat,” katanya.
Menurutnya, isu infrastruktur asas bukan masalah ciptaan GRS, sebaliknya warisan puluhan tahun yang kini sedang diatasi kerajaan negeri secara serius.
“GRS mempercepatkan Pan Borneo, menaiktaraf loji air dan mengukuh bekalan elektrik luar bandar.
“Ini projek mega yang ambil masa dan modal besar. Bukan kerja boleh siap sekelip mata seperti janji manis Suhaimi,” tegasnya.
Johainizamshah turut mengingatkan soal integriti kepimpinan apabila ada pihak yang cuba menggambarkan kononnya GRS tidak bersih.
“Kami mahu tanya semula- ketua parti mana yang kini berdepan kes mahkamah? Hajiji bersih, tiada rekod mahkamah. Itu fakta. Jangan putar cerita untuk alihkan perhatian,” katanya.
Beliau menegaskankan, rakyat sudah cukup matang menilai siapa sebenarnya gagal.
“GRS bukan kerajaan gagal. GRS kerajaan yang bekerja dengan bukti, bukan janji kosong. Kalau Suhaimi kata GRS gagal, jawapan kami jelas, Suhaimi lagi gagal urus kawasan sendiri.
“Rakyat Sabah tahu siapa yang benar-benar turun padang bekeria. dan siapa yang hanya pandai berjanji tetapi tidak menyelesaikan masalah,” katanya. — DEMI SABAH