spot_img
HomeEkonomiPindaan Akta Persaingan 2010 sasar dibentang di Parlimen sebelum akhir tahun

Pindaan Akta Persaingan 2010 sasar dibentang di Parlimen sebelum akhir tahun

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kini berada di peringkat akhir proses pindaan Akta Persaingan 2010 (Akta 712) yang dijangka dibentangkan di Parlimen sebelum akhir tahun ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.

Menerusi sesi penggulungan di Dewan Rakyat, Armizan memaklumkan pindaan berkenaan akan menambah baik kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan MyCC, termasuk memperkenalkan rejim kawalan percantuman bagi mengekang awal pembentukan kartel atau monopoli dalam pasaran.

“Berdasarkan hala tuju RMK-13 di bawah strategi Memperkukuh Ekosistem Persaingan, langkah jangka panjang menjelang 2030 adalah memusatkan kawal selia isu persaingan di bawah satu perundangan khusus merangkumi semua industri termasuk komunikasi, penerbangan awam dan tenaga.

“Namun, secara lebih segera, pindaan sedia ada memberi fokus kepada pengukuhan kuasa siasatan dan penguatkuasaan MyCC,” katanya.

Mengulas cadangan agar siasatan kartel dan pakatan bida dilakukan lebih awal sebelum proses perolehan dimuktamadkan, KPDN menjelaskan bahawa di bawah Akta 712, MyCC hanya boleh memulakan siasatan melalui empat kaedah iaitu:

• secara ex-officio oleh MyCC;

• arahan Menteri;

• aduan daripada orang awam, agensi kerajaan atau industri; dan

• maklumat melalui rejim kelonggaran (leniency).

Bagaimanapun katanya, MyCC tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan mana-mana kementerian atau agensi kerajaan mengecualikan pembida sepanjang siasatan berlangsung, kerana ia hanya boleh dilakukan setelah terbukti berlaku pelanggaran.

enurut beliau, setakat ini MyCC telah mengeluarkan keputusan pelanggaran terhadap 270 syarikat, termasuk 268 kes berkaitan kartel dan dua kes penyalahgunaan kuasa monopoli. Daripada jumlah itu, 26 syarikat terbabit dalam aktiviti kartel tipuan bida dikenakan penalti kewangan berjumlah RM97.31 juta.

“Keputusan siasatan dan pelanggaran ini turut disiarkan di laman web rasmi MyCC serta media, sebagai rujukan kementerian dan agensi kerajaan dalam mempertimbangkan urusan perolehan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan turut memperkukuh integriti proses perolehan kerajaan melalui beberapa pekeliling, antaranya Pekeliling PK1.6: Integriti Dalam Perolehan Kerajaan yang mewajibkan syarikat menandatangani Integrity Pact sejak 1 Jun 2022, dan Pekeliling PK4.2 yang menetapkan syarikat boleh dibatalkan tawaran tender sekiranya didapati melanggar Akta 712. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular