spot_img
HomeSemasaTPNS perkukuh agenda pendidikan inklusif

TPNS perkukuh agenda pendidikan inklusif

SANDAKAN: Seramai 39 pelajar cemerlang serta lebih 400 mahasiswa golongan B40 di daerah ini menerima manfaat Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS), menjadi bukti komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh agenda pendidikan inklusif.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, bantuan ini bukan sekadar sumbangan kewangan, tetapi simbol kesungguhan kerajaan untuk memastikan setiap anak Sabah mendapat peluang yang adil dalam menjejakkan kaki ke menara gading.

“Kita mahu tiada anak Sabah tercicir dalam pendidikan hanya kerana faktor kewangan.

“TPNS diwujudkan bagi memastikan generasi muda mempunyai bekalan ilmu untuk menjadi modal insan berkualiti dan mampu bersaing di peringkat global,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan TPNS di Dewan Serbaguna Libaran, di sini semalam.

Majlis tersebut dihadiri Pengarah Yayasan Sabah merangkap Timbalan Pengerusi Pelaksana TPNS, Dato’ Sri Gulamhaidar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung dan ADUN Karamunting, Datuk George Hiu Vun Zin.

Pada majlis tersebut, pelajar cemerlang SPM, STPM dan MUET masing-masing menerima bantuan tunai RM1,000, manakala pelajar STPM luar bandar menerima RM500 seorang.

Di samping itu, seramai 441 mahasiswa dari pelbagai institusi termasuk Politeknik, ILP, Kolej Komuniti, Kolej Kemahiran TVET, UMS dan OUM turut menerima Bantuan One-Off sebagai meringankan beban keluarga B40.

Selain bantuan kewangan, 50 pelajar turut menerima bantuan cermin mata, manakala tiga sekolah iaitu SK Sungai Manila, SK Pulau Timbang dan SMK Tongod menerima peruntukan berjumlah RM20,000, Sekolah Pondok Miftahussalam Sandakan pula menerima bantuan khas sebanyak RM6,500.

Datuk Dr. Arifin turut menyampaikan Honorarium Tokoh Pelajar Daerah Sandakan kepada Mohammad Azmir Misnani atas pencapaian akademik dan kokurikulum yang cemerlang, sekali gus menjadi inspirasi kepada pelajar lain.

“Kita mahu lahirkan bukan sahaja pelajar pintar akademik, tetapi juga seimbang dalam sahsiah dan kepimpinan. Inilah modal insan yang diperlukan untuk membawa Sabah ke tahap pembangunan yang lebih tinggi,” katanya.

Dalam majlis itu juga, beberapa inisiatif pendidikan sedia ada terus diperkasakan termasuk Bantuan Galakan Usaha Sekolah (BAGUS), Skim Umum Kecemerlangan Siswa (SUKSES), Bantuan Khas Peperiksaan (BAKTI) dan Bantuan Insentif Siswa Terbaik (BISTARI).

TPNS yang digerakkan melalui Kumpulan Yayasan Sabah menjadi bukti keseriusan kerajaan negeri dalam mengangkat taraf pendidikan, selain memberi suntikan semangat baharu kepada pelajar untuk terus mengejar kecemerlangan dan berbakti kepada negeri. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular