SANDAKAN: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) menyatakan komitmen penuh untuk memastikan proses pewartaan Kampung Karamunting Baharu berjalan secara telus, tersusun dan memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat.
Presidennya, Walter Kenson, berkata langkah menyerahkan dokumen tanah kepada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) menandakan fasa baharu dalam sejarah penempatan tersebut.
“Sebagai pemilik asal tanah, MPS mengambil langkah teratur dan bertanggungjawab menyerahkan tapak tersebut kepada kerajaan negeri melalui JTU.
“Secara simbolik, proses ini menandakan peralihan penting daripada pentadbiran pihak berkuasa tempatan kepada kerajaan negeri untuk pewartaan rasmi Kampung Karamunting Baharu,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Tapak Tanah Untuk Tujuan Pewartaan Kampung Karamunting Baharu, di sini.

Majlis itu disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiu Vun Zin.
Walter turut menjelaskan pertukaran tapak dengan tanah di Jalan Cecily adalah langkah perancangan bandar yang berstrategi dan membawa pendekatan menang-menang.
“Tapak di Jalan Cecily lebih sesuai untuk pembangunan kemudahan awam berskala besar kerana mempunyai akses lebih baik, jaringan utiliti sedia ada dan potensi pembangunan lebih menyeluruh.
“Manakala penduduk Karamunting Baharu mendapat kejelasan serta keselamatan penempatan melalui pewartaan rasmi,” katanya.
Menurutnya, MPS telah menetapkan tiga langkah segera yang akan dilaksanakan selepas ini iaitu Penubuhan Meja Penyelaras Khas, Quick Wins Perkhidmatan Perbandaran dan Klinik Khidmat Teknikal Komuniti.
“MPS akan kekal dengan pendekatan komunikasi telus, perancangan fizikal berlandaskan peraturan perbandaran, serta memaklumkan keputusan rasmi melalui saluran JKKK dan Ketua Kampung.
“Apabila komuniti dilibatkan, projek akan menjadi lebih berkualiti, cepat dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga SK Karamunting atas sokongan menjayakan majlis, selain menganggap inisiatif bantuan syukur malam ini sebagai simbol semangat kebersamaan.
“Dengan izin Tuhan dan kerjasama erat semua pihak, saya percaya Karamunting Baharu bukan sahaja akan diiktiraf di atas peta, tetapi juga akan menyaksikan peningkatan kualiti hidup secara berperingkat dengan kerja konsisten serta hati yang ikhlas,” ujarnya. — DEMI SABAH


