KOTA BELUD: Dua lelaki cedera dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kereta Proton Wira dan Perodua Bezza di Kampung Tambilaung, malam tadi.
Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 jam 9.00 malam, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 25 kilometer dari balai.
Seramai sembilan anggota diketuai PBK I Sufian Aban tiba di lokasi jam 9.27 malam.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan melibatkan pertembungan dua kenderaan, Proton Wira dan Perodua Bezza yang mengakibatkan dua mangsa lelaki mengalami kecederaan.
“Seorang mangsa yang berada di dalam Proton Wira didapati tersepit dan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas penyelamat sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, mangsa kedua yang berada dalam Perodua Bezza berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan penyelamat tiba.
Operasi turut melibatkan kehadiran dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua anggota KKM.

Pasukan bomba menjalankan kerja-kerja pembersihan kawasan kemalangan menggunakan satu aliran salur bantu mula.
Operasi diklasifikasikan terkawal jam 9.43 malam dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.56 malam. — DEMI SABAH


