spot_img
HomeEkonomiKerajaan Negeri Sabah hormati keputusan Mahkamah Rayuan

Kerajaan Negeri Sabah hormati keputusan Mahkamah Rayuan

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang  membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan bagi penangguhan pelaksanaan  Perintah Mahkamah Tinggi untuk menyemak geran khas bagi Tempoh Terlepas (Lost  Years) serta mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari bagi pembayaran hak Sabah  sebanyak 40 peratus sementara menunggu rayuan Kerajaan Persekutuan.

“Walaupun prosiding mahkamah sedang berjalan, adalah diharapkan rundingan akan  diteruskan dengan niat baik ke arah mencapai persetujuan dengan Kerajaan  Persekutuan,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata, perintah penangguhan yang diberikan adalah bersifat prosedural dan  mengekalkan status quo sehingga rayuan Kerajaan Persekutuan didengar.

“Ia tidak mengetepikan Perintah Mahkamah Tinggi sedia ada. Walaupun perintah  Mahkamah Tinggi untuk mengadakan semakan adalah bagi Tempoh Terlepas [1974– 2021], ia tidak seharusnya menghalang semakan bagi tahun-tahun semasa  memandangkan Kerajaan Persekutuan tidak mempertikaikan formula 40 peratus serta  keperluan untuk mengadakan semakan,” katanya.

Ketua Menteri mengulangi pendirian Kerajaan Negeri yang membantah penangguhan  Perintah Mahkamah Tinggi tersebut, namun menegaskan bahawa kerajaan tetap  menghormati keputusan terbaharu mahkamah.

“Ini adalah satu proses yang sedang berjalan dan Kerajaan Negeri akan terus  berbincang serta mencari penyelesaian,” tegasnya.

Hajiji berkata, Kerajaan Persekutuan tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan  Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Oktober 2025 berhubung hak perlembagaan  Sabah ke atas 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang dikutip, dan Perdana Menteri  Anwar Ibrahim telah berjanji untuk menghormatinya.

Tarikh tentafif bagi pendengaran rayuan Kerajaan Persekutuan adalah antara 27 hingga  30 Oktober 2026 dan satu e-Review ditetapkan pada 13 April 2026 bagi mengesahkan  tarikh sebenar pendengaran.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular